Guan Eng menentang kerjasama dengan Muhyiddin

Guan Eng menentang kerjasama dengan Muhyiddin

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng, menegaskan beliau akan menentang sebarang usaha untuk Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, PH tidak boleh bekerjasama dengan orang yang tidak boleh dipercayai dan keputusan itu sudah dibuat Majlis Presiden PH sebelum ini.

“Majlis Presiden PH sebelum ini telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan sama ada PN) atau Muhyiddin kerana peranannya sebagai “pengkhianat” utama dalam Langkah Sheraton yang mengkhianati mandat rakyat dan membentuk kerajaan pintu belakang dengan Umno, MCA, MIC dan Pas.

“Kita tidak boleh bekerjasama dengan orang yang tidak boleh dipercayai. Kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.

“Saya akan menentang sebarang pembalikan keputusan sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Guan Eng mengulas mengenai pertanyaan media mengenai kenyataan Presiden PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kemungkinan bekerjasama dengan Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, bagi kerjasama dengan Dr Mahathir pula, PH sedia bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dengan syarat mereka menerima peranan kepimpinan PH dan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Ini telah diterima tanpa syarat oleh parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Bagaimanapun Majlis Presiden PH tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan hati oleh Tun Dr Mahathir,” katanya.

Guan Eng berkata, Anwar Ibrahim juga telah menjelaskan bahawa kenyataannya berhubung kerjasama dengan dua bekas Perdana Menteri itu telah dipetik dengan tidak tepat.

“Anwar Ibrahim telah membalas panggilan telefon saya dengan mengesahkan prinsip ini dan menjelaskan bahawa kenyataan beliau telah dipetik dengan tidak tepat.

“Beliau berkata bahawa pembetulan terhadap kenyataan tersebut akan dibuat,” katanya. – Malaysiapost

Komen