Kenaikan nilai bantuan RMT bulan ini tidak terjejas – Radzi

Kenaikan nilai bantuan RMT bulan ini tidak terjejas – Radzi

MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memberi jaminan peruntukkan tambahan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidak terjejas walaupun Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, RMT yang telah dinaikkan kepada RM3.50 dan RM4 mulai bulan ini tidak akan terjejas kerana kenaikan kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun depan, sebaliknya menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti kaedah pelaksanaan terbaik untuk tahun ini.

“Kita sedang kaji dan melihat di peringkat kementerian tentang apakah pendekatan yang kita akan gunakan.

“Apabila kita akan laksanakan untuk tahun ini, ada peruntukan telah disediakan.

“Secara umumnya, kita sedang berbincang (jumlah) peruntukan tersebut. Biasanya bila diumumkan itu telah ada peruntukan untuk perkara tersebut dan akan duduk bincang semula dengan Kementerian Kewangan apakah kaedah pelaksanaan untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga Putrajaya – Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2023 minggu lalu, Menteri Kewangan, Datuk Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kenaikan kadar bantuan RMT buat semua penerima berkuat kuasa bulan ini.

Menurutnya, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.

Kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.

Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020 yang akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid dan membabitkan 7,300 pengusaha makanan serta pembekal susu tempatan. -Malaysiapost

Komen