Kerajaan setuju struktur semula 4 syarikat konsesi lebuh raya

Kerajaan setuju struktur semula 4 syarikat konsesi lebuh raya

KERAJAAN bersetuju untuk menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup.

Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Menurut Perdana Menteri, ia akan berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022.

Katanya, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

“Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Plaza Tol Gombak ke Plaza Tol Bentong, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.

“Pada masa sama, kerja tebatan banjir di lebuhraya LPT1 akan dilaksanakan susulan banjir yang sering kali berlaku di lebuh raya tersebut.

“Kesemua kerja penambahbaikan, mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata melalui penstrukturan terbaharu itu, kerajaan telah
menjimatkan RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi terlibat.

“Pengguna lebuh raya pula bakal menikmati kadar tol lebih rendah sekali gus meringankan beban kos sara hidup,” katanya. – Malaysiapost

Komen