Kit Siang sebenarnya takut berdepan PRU

Kit Siang sebenarnya takut berdepan PRU

SEORANG pemimpin Umno mendakwa veteran DAP, Lim Kit Siang takut untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sebalik dakwaan Parlimen dibubarkan untuk menyelamatkan ‘kluster mahkamah’.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi turut mengingatkan Kit Siang bahawa pemimpin Umno tidak pernah lari daripada berdepan kes di mahkamah.

“Apakah dia lupa pemimpin Umno tidak lari? Mereka turun naik Mahkamah. Najib (Razak) dipenjara. Zahid (Hamidi) masih ada kes yang sedang dibicara.

“Sebenarnya Kit Siang yang takut. Bagaimana mahu selamatkan kes terowong anaknya. Dulu bolehlah Tommy Thomas selamatkan kes rasuah banglo anaknya.

“Sebab itu rakyat tidak sabar menunggu hasil siasatan Pasukan Petugas Khas buku Tommy Thomas didedahkan. Ia adalah pendedahan “ibu segala kedurjanaan” PH selama 22 bulan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Mohd Puad, kemenangan BN pada PRU15 membimbangkan Kit Siang dan Thomas susulan kes melibatkan pemimpin PH khususnya Guan Eng.

“PRU akan menamatkan kedurjanaan PH. Sebab itu RCI Tommy Thomas mesti disegerakan. Ia juga akan menamatkan retorik Lim Kit Siang,” katanya. – Malaysiapost

Komen