Muhyiddin hargai keputusan Pas

Muhyiddin hargai keputusan Pas

KEPUTUSAN Pas untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) memberi suntikan semangat kepada gabungan itu untuk bergerak lebih tersusun dan bersatu padu dalam meraih sokongan rakyat.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, menghargai keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat hari ini.

“Secara peribadi saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rakan-rakan pimpinan Pas yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama Pas dalam PN.

“Saya mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU-15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam satu kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Pas Pusat, hari ini sepakat untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk hadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.

Menurutnya, Pas juga akan memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN, selain menetapkan senarai calon daripada negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama.

Pas turut mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah. – Malaysiapost

Komen