Najib dinamakan calon Umno Parlimen Pekan

Najib dinamakan calon Umno Parlimen Pekan

UMNO Pekan kekal menamakan Datuk Seri Najib Razak sebagai antara lima calon diketengahkan untuk Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia di sebalik bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atasnya berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Zamri Ramly berkata nama Najib antara lima calon dikemukakan pihaknya untuk diserah kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menolak jangkaan ramai pihak yang bahagian itu akan menamakan dua anak Najib, Datuk Nizar atau Nooryana Najwa bertanding di kerusi tersebut.

“Tiada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.

“Sebaliknya sesiapa yang dipilih nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya seperti dilapor FMT yang memetik Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, Nizar dicalonkan namun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Pada PRU14 lalu, Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan selepas memperoleh majoriti besar 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya. – Malaysiapost

Komen