PAS Pahang sedia hadapi banjir

PAS Pahang sedia hadapi banjir

Ben Ibrahim

UNIT Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia Pahang diarahkan bersedia menghadapi Monsun Timur Laut dan kemungkinan berlaku banjir di negeri berkenaan.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, kedua entiti itu ditugaskan mengetuai dan mengatur pergerakan sukarelawan jika banjir melanda Pahang.

“Keduanya perlu bersedia dari sekarang, tugas mereka bukan sahaja bantu mangsa banjir, tapi turut memainkan peranan mengatur penghantaran sukarelawan ke kawasan memerlukan bantuan.

“Bagi memastikan semua perancangan ini berjalan seperti dijadualkan, usaha mengumpul dana bagi membeli barangan keperluan untuk mangsa banjir juga perlu dilakukan segera,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Rosli memaklumkan, persiapan awal ini diharapkan dapat meringankan dan mengurangkan risiko kepada penduduk terjejas banjir.

Katanya, Unit Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal bukan sahaja perlu membuat rangka kerja ketika banjir berlaku, tetapi turut diminta merancang aktiviti dan misi bantuan pasca banjir bagi meringankan beban ditanggung mereka yang terbabit dalam kejadian banjir.

“Ini termasuklah pembahagian tugas untuk membersihkan kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat banjir di seluruh Pahang,” katanya. – Malaysiapost

Komen