Permohonan undi pos dalam dan luar negeri PRK DUN Bugaya dibuka hari ini – SPR

Permohonan undi pos dalam dan luar negeri PRK DUN Bugaya dibuka hari ini – SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung kekosongan kerusi DUN Bugaya, semalam.

Sehubungan itu, Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya dibuka mulai hari ini.

“Permohonan dibuka mulai hari ini dan tarikh tutup pula akan diumumkan selepas mesyuarat khas PRK DUN Bugaya pada 20 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan.

Katanya, alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR.

Manakala bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di
luar negara) & 1C (agensi/organisasi) pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian (online) melalui portal beralamat https://myspr.spr.gov.my/login.

Kerusi DUN Bugaya kosong susulan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 kerana sakit buah pinggang.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, Manis Muka yang bertanding atas tiket Parti Warisan berjaya mempertahankan kerusi DUN Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas memperoleh 8,557 undi.

Manis Muka yang bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985, menewaskan enam pencabar lain termasuk calon Perikatan Nasional Mohd Daud Tampokong yang hanya memperoleh 2,552 undi.

Baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020. – Malaysiapost

Komen