PKR tiada hasrat kerjasama pilihan raya dengan GTA dan PN – Fahmi Fadzil

PKR tiada hasrat kerjasama pilihan raya dengan GTA dan PN – Fahmi Fadzil

PKR tidak berhasrat mengadakan perbincangan kerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil, berkata laporan media yang membayangkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama itu adalah tidak benar.

“Saya meneliti beberapa laporan media yang membayangkan bahawa Anwar Ibrahim, bersedia dan terbuka untuk bekerjasama dengan GTA atau PN.

“Ini tidak benar. Pendirian PKR dan PH amat jelas, iaitu fokus utama kami adalah untuk memperkukuh PH itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa sebarang kerjasama dengan mana-mana parti menjelang PRU-15 tidak hanya tertumpu kepada usaha menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN), tetapi mesti berteraskan prinsip-prinsip agenda reformasi, tatakelola yang baik, dan melawan rasuah.

“Oleh itu, PKR tiada hasrat untuk mengadakan perbincangan kerjasama pilihan raya dengan GTA dan PN,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Anwar Ibrahim terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mendepani cabaran dalam PRU-15.

Menurutnya, pintu kerjasama itu sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan Umno dan BN.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kerjasama dengan pihak tertentu, termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin biarpun masing-masing memiliki sejarah hitam susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Anwar berkata, sebarang kerjasama perlu terikat dengan prinsip, bagi mengelakkan persepsi bahawa tujuan perjuangan hanya untuk menumbangkan Umno. – Malaysiapost

Komen