PRU-15 diadakan sekarang untuk bentuk kerajaan yang kukuh – Ahmad Zahid

PRU-15 diadakan sekarang untuk bentuk kerajaan yang kukuh – Ahmad Zahid

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan antara faktor mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan sekarang adalah supaya sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dapat dibentuk.

Menurutnya, ketika ekonomi global dilaporkan telah beralih daripada persekitaran inflasi dan kadar faedah rendah kepada dunia yang “lebih terdedah dan rapuh”, Malaysia pula dalam keadaan kerajaannya terus dikelilingi oleh ‘musuh dalam selimut’.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata situasi itu andai berterusan tentu sukar kerajaan Malaysia bertindak sebagai sebuah pasukan membentengi negara daripada impak “recession” (kemelesetan ekonomi).

“Rakyat tidak boleh membiarkan Malaysia dalam keadaan kerajaannya terus dikelilingi oleh ‘musuh dalam selimut’ berkepentingan politik semata-mata.

“Musuh dalam selimut yang sentiasa mencari ruang dan peluang mensabotaj kerajaan bagi meraih kesempatan politik tidak berkesudahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ketidakstabilan dalam kerajaan itu mengakibatkan berlakunya keadaan `tutup pintu depan, buka pintu belakang’ yang ketika itu menyebabkan penularan pandemik Covid-19 sukar untuk dibendung.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyerang kerajaan sendiri sekali gus mengundang sentimen negatif terhadap pelabur asing untuk melabur ke dalam negara.

“Meskipun pelbagai dasar dan rancangan diatur untuk mendepaninya, pelaksanaannya berisiko tinggi gagal, tersasar dan terjejas angkara percaturan politik.

“Rakyat yang akan menanggung akibatnya, manakala yang licik merencana agenda politik mendapat manfaat besar daripada kemusnahan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, adalah meragukan apabila pembangkang membantah keras PRU-15 dengan alasan keadaan ekonomi tidak stabil.

“Pembangkang mahu kerajaan campuran yang mereka gambarkan gagal bantu rakyat dikekalkan sehingga ramalan “recession” tahun depan terus berlaku.

“Adakah kita semua mahu menyaksikan berhadapan dengan keadaan dan situasi yang sama sekali lagi?.

“Cukuplah, muslihat jahat itu harus dihalang dan kuasa kini di tangan rakyat untuk memastikan ancaman dalaman yang wujud di akhiri sebelum ramalan kemelesetan ekonomi global terjadi,” katanya. – Malaysiapost

Komen