Rakyatlah penentu sebenar – BERSIH

Rakyatlah penentu sebenar – BERSIH

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyeru 21 juta pengundi untuk melaksanakan hak untuk mengundi dan menunjukkan aspirasi bagaimana bentuk negara yang dimahukan.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan hari ini, berkata rakyat wajib menolak sebarang percubaan sesetengah ahli politik untuk memanipulasi, tidak menggalakkan dan memecahbelahkan.

“Kita perlu bangkit dan keluar menunjukkan aspirasi bagaimana bentuk negara yang kita mahukan. Langkah paling berkesan dan jitu adalah melalui peti undi. Rakyatlah penentu sebenar, “kingmaker” semasa pilihan raya,” katanya.

BERSIH turut membuat beberapa tuntutan yang sebahagiannya daripada Kempen Ketuanan Pengundi setahun lalu, kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti yang akan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Antara tuntutan itu adalah tidak menafikan hak pengundi termasuk pelaksanaan Undi18, Pendaftaran Pemilih Secara Automatik dan hak undi pos untuk semua rakyat Malaysia di luar negara serta minimum 21 hari tempoh kempen.

BERSIH menuntut SPR membenarkan undi awal kepada pengundi luar kawasan terutamanya pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja dan belajar di Semenanjung serta pengundi Malaysia Barat di Sabah dan Sarawak.

Tuntutan lain adalah menghentikan pendakwaan terpilih dimana kuasa politik digunakan sebagai jalan untuk mengelakkan hukuman atau untuk membalas dendam terhadap musuh politik.

BERSIH menuntut tiada campur tangan dalam proses kehakiman oleh kerajaan, peranan Pendakwa Raya perlu dipisahkan daripada Peguam Negara yang merupakan lantikan politik.

Menurut BERSIH, Parlimen juga perlu diperkasakan dengan reformasi parlimen seperti pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen serta pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas dan Ahli Parlimen Backbenchers serta Pembangkang melalui pindaan Peraturan Mesyuarat adalah mustahak.

Selain itu, gabungan itu menuntut rakyat menolak korupsi dengan memilih ahli politik yang bersih dan parti yang beriltizam mengambil langkah konkrit berhubung gejala yang sudah membarah di negara ini.

BERSIH berpendapat perlunya undang-undang dan peraturan yang boleh menstabilkan politik negara yang memberikan ketentuan lebih baik kepada polisi kerajaan dan tarikh pilihan raya.

“BERSIH mencadangkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap supaya lebih kepastian kepada kita semua. Untuk mengembalikan Parlimen sebagai institusi yang menentukan pembentukan kerajaan yang lebih jelas.

“Kami mencadangkan pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat supaya mempunyai Undi Kepercayaan untuk mengesahkan bakal Perdana Menteri dan Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif untuk mana-mana Perdana Menteri yang kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Mekanisme ini akan mengelakkan keruntuhan kerajaan melalui kenyataan penarikan sokongan yang samar-samar yang dilakukan di luar parlimen,” katanya.

Menurut BERSIH, pihaknya akan melancarkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan peratusan turun mengundi dan sedang merekrut Pemantau Pilihan Raya untuk memantau dan melaporkan kesalahan pilihan raya. – Malaysiapost

Komen