Sebulan tol percuma di Lebuhraya DASH – PM

Sebulan tol percuma di Lebuhraya DASH – PM

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tol percuma Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) selama sebulan bermula jam 12.01 tengah malam ini.

Perdana Menteri berkata ia sempena pelancaran lebuh raya tersebut yang siap sepenuhnya pada 30 September lalu.

Menurut Perdana Menteri, lebuh raya DASH adalah antara 53 projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi lebih berdaya maju.

Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, katanya, 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.

“Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016, mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.

“Tempoh perjalanan juga dijangka dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama satu jam 30 minit.

“Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pembinaan Lebuhraya DASH juga menerapkan elemen kelestarian selari Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“Lebuh raya ini juga memenuhi kriteria ditetapkan di bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’.

“Penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang sepanjang 260 meter bagi mengelak gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling.

“Pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutama aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya,” katanya. – Malaysiapost

Komen