Stesen Janakuasa Battersea dibuka kepada orang ramai esok

Stesen Janakuasa Battersea dibuka kepada orang ramai esok

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia, Stesen Janakuasa Battersea di Central London, United Kingdom (UK) semalam.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook rasmi Istana Negara, hari ini, memaklumkan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di Stesen Janakuasa Battersea disambut oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Arifin Zakaria.

Turut hadir, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakri Jaafar, Menteri Pelaburan UK Dominic Johnson dan Menteri Dasar Perdagangan UK, Greg Hands.

“Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan pembukaan Stesen Janakuasa Battersea dengan menghidupkan semula kuasa secara simbolik di Dewan Turbin A yang telah tidak aktif selama lebih 40 tahun dan kini akan menempatkan sebahagian daripada pusat beli-belah Stesen Janakuasa tersebut.

“Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan melancarkan plak memperingati lawatan dan peringatan kekal akan hubungan kukuh antara Malaysia dan UK,” menurut Istana Negara.

Mercu tanda itu akan dibuka kepada orang ramai esok setelah hampir empat dekad penutupannya.

Stesen Janakuasa Battersea pernah menjadi stesen janakuasa arang batu satu ketika dulu, ia kini bersedia untuk menjadi salah satu destinasi beli-belah dan riadah yang paling menarik di London.

Berkeluasan 16.99 hektar, Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PNB sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak sembilan bilion pound (RM51.53 bilion). – Malaysiapost

Komen