Tak perlu tangisi keputusan Pas – Annuar Musa

Tak perlu tangisi keputusan Pas – Annuar Musa

BARISAN Nasional (BN) tidak perlu tangisi keputusan Pas yang memilih untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), kata Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung BN itu, berkata apa yang perlu dilakukan adalah kekal istiqamah pada landasan perjuangan,tanpa segan silu membaiki kesilapan dan segera di garap misi dan visi baru buat Malaysia.

Menurutnya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, masing masing telah mengeluarkan kenyataan media hari ini yang natijahnya rundingan antara mereka telah gagal.

“Insyaallah Umno akan mengorak langkah menerusi BN, merapatkan saf dan membulatkan tekad dan kekal istiqamah dalam perjuangan. Ini satu ujian.

“Sebagai sebuah parti politik yang telah melalui sepak terajang politik yang lama dan berbagai, Umno tetap mampu menongkah gelora politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Annuar yang juga Ketua Umno Bahagian Ketereh, berkata BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) sudah tidak asing lagi kepada rakyat.

“PRU-14 memberi peluang rakyat merasa kepimpinan PH dengan Perdana Menteri (PM) 7, PN dengan PM8 dan BN dengan PM9…tepuk dada tanya selera.

“Anggaplah PRU-15, sebagai pusingan akhir. Rekod masing masing boleh diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, BN melalui pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menstabilkan politik negara, mengeluarkan rakyat dari belenggu Covid-19, memacu semula ekonomi dan membawa kemakmuran kepada semua.

“BN telah membuktikan kematangan mentadbir, mengharmonikan Keluarga Malaysia serta melaksanakan reformasi terbesar dalam sejarah negara.

“Justeru BN tidak perlu tangisi usaha yang tidak terhasil. Kita hanya perlu kekal istiqamah pada landasan perjuangan, tanpa segan silu membaiki kesilapan dan segera di garap misi dan visi baru buat Malaysia.

“Insya-Allah BN mampu melakukannya,bersama rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen