Tindakan Charles Santiago sia-sia – Lokman Adam

Tindakan Charles Santiago sia-sia – Lokman Adam

SAMAN difailkan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen adalah tindakan yang sia-sia, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan yang termaktub dalam Perlembagaan untuk membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu.

“Apa pun tak perlu bimbang dengan saman itu kerana segala syarat untuk membubarkan Parlimen sudah pun dipenuhi oleh Perdana Menteri.

“Untuk makluman Charles, memang Perdana Menteri telah membawa perkara berhubung permintaan pembubaran Parlimen ke dalam mesyuarat Kabinet.

“Sudah pastilah mesyuarat Kabinet ada orang Bersatu, ada orang PAS. Mereka bersama gelabah macam Encik Charles yang tidak ada keyakinan bahawa parti mereka boleh memenangi pilihan raya.

“Sudah pastilah mereka akan bantah cadangan Perdana Menteri, namun untuk pengetahuan Charles, kalau mereka tidak berpuas hati dengan cadangan ini, mereka boleh ajukan dalam mesyuarat Kabinet,” katanya dalam siaran secara langsung di Facebooknya, malam tadi.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, tiada termaktub dalam Perlembagaan menyatakan bahawa pembubaran Parlimen mesti mendapat sokongan majoriti jemaah menteri terlebih dahulu.

“Tugas Perdana Menteri hanya membincang tetapi tidak ada dalam Perlembagaan yang menyatakan Perdana Menteri mesti mengikut persetujuan majoriti anggota Kabinet yang saya yakin di dalam Kabinet itu sendiri ada orang-orang Umno yang akan menyokong pendirian Perdana Menteri untuk bubarkan Parlimen.

“Adakah keputusan majoriti telah menolak cadangan Perdana Menteri, ini pun Charles tak tahu sebab dia DAP. Tidak ada wakil DAP dalam kerajaan Keluarga Malaysia.

“Jadi atas justifikasi apa dia menyatakan Perdana Menteri membubarkan Parlimen tidak mendapat sokongan daripada Kabinet?

“Charles perlu tahu Perdana Menteri juga mempunyai budi bicara untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, itu hak Perdana Menteri,” katanya.

Lokman juga menyifatkan tindakan Charles kerana ‘gelabah’ dan gentar untuk menghadapi PRU15.

“Tak pernah lagi dalam sejarah DAP begitu gelabah, takut berhadapan pilihan raya sehingga sanggup saman Perdana Menteri yang telah mohon membubarkan Parlimen.

“Malah untuk kes ini kesilapan besar juga apabila ‘Muhyiddin and the gang’ mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang ditandatangani 12 menteri Kabinet.

“Jelas menunjukkan 12 orang ini seolah-olah tidak lagi mempunyai keyakinan kepada Perdana Menteri dan menyatakan secara terus kepada ke bawah duli tuanku Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semalam, Charles menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri Isnin lalu.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang Di Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang Di Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen. – Malaysiapost

Komen