Banyak perubahan Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan – Wan Junaidi

Banyak perubahan Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan – Wan Junaidi

PELBAGAI perubahan signifikan di dalam Perlembagaan Persekutuan berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh Parlimen ke-14 sebelum ia dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan pembubaran itu, maka secara teknikalnya berakhirlah tugas beliau sebagai Menteri dan Ahli Parlimen Santubong.

“Walaupun dalam tempoh singkat, hanya kira-kira 13 bulan sebagai Menteri yang menjaga Undang Undang dan Parlimen, Alhamdulillah beberapa perubahan signifikan di dalam Perlembagaan Persekutuan berjaya saya laksanakan.

“Ini termasuklah Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963; Larangan bertukar parti kepada Ahli Dewan Rakyat; dan Perlaksanaan Undi 18,” katanya dalam satu perutusan khasnya hari ini.

Menurutnya, selain tiga tugasan besar tersebut, beberapa tindakan susulan juga sempat beliau sempurnakan antaranya, adalah tindakan terhadap Laporan Pasukan Petugas Khas berkaitan dakwaan-dakwaan dalam buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

“Tindakan terhadap Laporan Pasukan Petugas Khas bagi semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Menjadikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai jabatan teknikal persekutuan dan menyenaraikan pelancongan ke dalam senarai bersama (kuasa Persekutuan dan Negeri) dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Wan Junaidi turut mengucapkan terima kasih atas sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakan-rakan dalam kerajaan dan parti serta pasukannya di Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM).

“Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan saya kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kerana turut memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya sebagai wakil rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) untuk berkhidmat di peringkat Persekutuan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi di Santubong yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi wakil rakyat mereka selama empat penggal sejak tahun 2004,” katanya.

Beliau berharap khidmat bakti diberikan selama ini dapat memberi kebaikan kepada rakyat di kawasannya.

“Kepada pengundi-pengundi di Sarawak, teruskanlah memberi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

“Kerana hanya melalui kemenangan besar, GPS mampu menjadi representasi atau wakil yang berwibawa untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak di peringkat persekutuan.

“Semoga PRU-15 bakal menjadi wadah terbaik untuk kita membina kestabilan politik negara yang tercinta dan kesejahteraan semua ahli Keluarga Malaysia tidak kira di Semenanjung, Sarawak dan Sabah,” katanya. – Malaysiapost

Komen