Deepavali tahun ini akan menjadi perayaan yang sangat bererti di Malaysia – Ahmad Zahid

Deepavali tahun ini akan menjadi perayaan yang sangat bererti di Malaysia – Ahmad Zahid

PENGUNDI diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan tohmahan pembangkang kononnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ketika perayaan Deepavali tidak menghiraukan dan tidak menghormati kepentingan masyarakat India.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebaliknya perayaan Deepavali tahun ini akan menjadi perayaan yang sangat bererti di Malaysia apabila sebuah kerajaan dominan dapat dibentuk pada pilihan raya itu nanti.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil pasti akan menjadi hadiah yang amat bermakna sempena Deepavali selepas beberapa tahun negara berdepan ketidakstabilan politik serta ekonomi.

“Sedangkan perayaan Deepavali itu sendiri cahaya yang membawa maksud semangat kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman, keresahan mengatasi kebahagiaan dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan.

“Pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil akan menjamin kecekapan, keberkesanan dan kemampuan pentadbiran negara dalam membantu segenap lapisan masyarakat termasuk kaum India,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, kerajaan yang stabil sekali gus akan membawa Malaysia keluar daripada kekusutan politik yang tidak berkesudahan sejak PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018.

“Perbuatan pembangkang menjadikan Deepavali sebagai bahan kempen politik sangat tidak bertanggungjawab kerana perayaan seharusnya menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan semangat perpaduan dan persaudaraan,” katanya. – Malaysiapost

Komen