GLOPEC, Kumpulan Yayasan Sabah sertai SIAL

GLOPEC, Kumpulan Yayasan Sabah sertai SIAL

PUSAT Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) bersama Kumpulan Yayasan Sabah akan memanfaatkan penyertaan dalam Salon International de l’Alimentation (SIAL) di Paris untuk memperkembangkan potensi produk ‘Made in Sabah’.

GLOPEC dalam kenyataan hari ini berkata, pameran inovasi makanan terbesar dunia yang bermula esok hingga 19 Oktober ini, menjanjikan potensi memberangsangkan untuk produk berasaskan makanan dan minuman halal serta sihat dari Sabah.

Menurutnya, sektor kraftangan juga berpotensi untuk diperkembangkan capaian khususnya ke pasaran Perancis dan Eropah.

“Pasaran Perancis dan Eropah adalah pasaran antarabangsa yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan menyediakan peluang yang luas dari segi kolaborasi bisnes.

“Justeru, delegasi GLOPEC dan juga Sabah akan memanfaatkan peluang unik SIAL di Paris untuk bertemu mata dan membina jaringan bersama pembekal serta peruncit dalam talian yang berminat meneroka bisnes dan membeli produk ‘Made in Sabah’ini,” menurut kenyataan itu.

Penyertaan dalam SIAL di paris adalah inisiatif promosi perdagangan kedua selepas misi perdagangan dan promosi ‘Taste of Sabah’ di London pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Yayasan Sabah komited menyokong usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri dan percaya perlunya untuk terus menyuburkan perdagangan dalam mengatasi pemulihan perniagaan pasca pandemik.

Wakil GLOPEC dan Kumpulan Yayasan Sabah turut melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Paris di mana banyak maklumat dan idea dikongsi pihak berkenaan mengenai usaha menerokai pasaran Eropah.

Ia termasuk penghantaran barangan menerusi rakan strategik dan negara yang mempunyai ramai masyarakat Asia seperti di Belanda dan United Kingdom (UK). – Malaysiapost

Komen