Jadikan Persidangan Umno Bahagian medan persiapan hadapi PRU15 -Zahid

Jadikan Persidangan Umno Bahagian medan persiapan hadapi PRU15 -Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu persidangan Umno bahagian di seluruh negara yang bermula hari ini, menjadi medan terbaik untuk parti mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sekarang adalah masanya untuk sayap Umno merapatkan saf dan melupakan ‘titik bengik’ (perkara tidak penting) dengan menjadikan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi.

“Selamat bersidang kepada semua perwakilan yang melibatkan 191 bahagian di seluruh negara bermula esok (hari ini).

“Rapatkan saf antara sayap-sayap parti dan ketepikan titik bengik sesama sendiri jika masih ada dan jadikan perjuangan parti mengatasi kepentingan diri,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyeru jentera parti menyusun gerak kerja sebaik mungkin bagi menghadapi PRU15, sekali gus menamatkan polemik politik yang berlaku.

“Dengan misi mencapai ‘Kestabilan Dan Kemakmuran (Stability And Prosperity)’ mari kita susun sebaik mungkin gerak kerja jentera parti.

“Ia bagi merealisasikan hasrat rakyat yang sekian lama menderita dengan polemik politik yang turut menggoncang kemakmuran ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Umno menjelaskan Persidangan Umno di 191 Bahagian seluruh negara bermula hari ini hingga Ahad, tetap perlu diteruskan biarpun Parlimen dibubarkan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semua 191 Bahagian Umno di seluruh negara itu juga diarahkan memberi fokus kepada usul persiapan PRU15. – Malaysiapost

Komen