Jho Low didakwa ada syarikat baharu di luar negara – wartawan

Jho Low didakwa ada syarikat baharu di luar negara – wartawan

DUA wartawan dan pakar mengenai Low Taek Jho atau Jho Low, mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu kekal ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.

Malah dia didakwa mungkin telah menubuhkan syarikat perniagaan baharu.

Menurut Bradley Hope dan Tom Wright dalam video YouTube terbaru mereka hari ini, Jho Low mungkin telah memperbadankan sebuah syarikat baharu di British Virgin Islands.

Mereka berkata, jejak dokumen menunjukkan JinWeiJing Business Consulting, sebuah entiti dikenali sebagai syarikat induk keluarga Jho Low, telah menukar namanya kepada GuiYue Business Consulting dan pemilikannya baru-baru ini dipindahkan kepada entiti BVI bernama Grace Zenith Limited.

Memetik Malaysiakini, GuiYue mempunyai alamat perniagaan di Pusat Kewangan Dunia Shanghai iaitu sebuah bangunan pencakar langit setinggi setengah kilometer dan merupakan pusat perniagaan ikonik di China.

Pemilik baru syarikat Grace Zenith, mempunyai sumbangan modal langganan sebanyak US$333 juta dalam GuiYue, dan wartawan berkenaan mengesyaki wang itu berasal daripada 1MDB.

“Jadi apa yang kami dapati ialah bukan sahaja syarikat tersebut baru-baru ini menukar namanya, jadi Jinweijing kini dipanggil Guiyue Business Consulting.

“Mereka menukar pemilikan, Jho Low dan Seet (Li Lin) telah dikeluarkan nama mereka. Hak milik ditukar kepada syarikat British Virgin Islands bernama Grace Zenith Limited.

“Itu dengan serta-merta menimbulkan syak dalam fikiran kami, kerana kami tahu bagaimana Jho Low menyukai syarikat luar pesisir BVI,” kata Hope.

Hope dan Wright, yang menulis buku Billion Dollar Whale mengenai skandal membabitkan Low, telah secara aktif dan terbuka mengikuti jejak ahli perniagaan itu serta cuba mengesan lokasinya di bawah inisiatif yang dipanggil ‘Project Brazen’. – Malaysiapost

Komen