Keputusan PAS kekal bersama PN bagai pucuk dicita ulam mendatang

Keputusan PAS kekal bersama PN bagai pucuk dicita ulam mendatang

TERDAPAT banyak hikmah di sebalik keputusan PAS untuk kekal bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub, berkata parti itu tidak kecewa dengan pendirian PAS untuk kekal bersama Bersatu dalam PN kerana telah menjangkakannya.

Malah beliau berkata, tindakan PAS itu bagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’ kerana Umno tidak perlu pening kepala memikirkan pembahagian kerusi dengan parti itu.

“Veteran Umno Malaysia telah menduga yang PAS akan membuat pilihan untuk kekal bersama PN. Keputusan itu tepat kerana PAS adalah pendokong kuat PN. Veteran menghormati keputusan itu.

“Sesungguhnya keputusan PAS itu adalah satu rahmat kepada Umno. Keputusan PAS itu juga akan memudah dan menyenangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk bertanding.

“Tidak perlu lagi memikirkan pebahagian kerusi dengan PAS.Tidak ada lagi pertimbangan dimana Umno/BN akan bertanding,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk parti itu terus mengukuhkan kerjasama dengan PN pada PRU15.

Mustapha menegaskan, Umno yang bergerak secara solo bersama BN patut memandang terus ke hadapan sekali gus memberi fokus menawan PRU15 ini.

“Umno BN bebas bertanding di semua kawasan tumpuan dan bersedia berdepan dengan semua parti lawan. Biarlah pengundi membuat keputusan untuk memilih parti yang terbaik untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara,” katanya.

Justeru, Mustapha berkata, pihaknya mendesak pucuk pimpinan Umno membubarkan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dicetuskan bersama parti itu pada September 2019.

“Dengan keputusan terbaharu PAS itu, veteran sekali lagi mendesak pucuk pimpinan Umno supaya dengan berani, tegas dan bermaruah mengisytiharkan MN dibubarkan dengan rasminya,” katanya. – Malaysiapost

Komen