KUIS kini dinaik taraf sebagai universiti

KUIS kini dinaik taraf sebagai universiti

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dinaik taraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, memaklumkan Sultan Selangor telah berkenan menerima mengadap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bagi mempersembahkan watikah rasmi penaikan taraf itu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.  

Beliau berkata, berkata penaikan taraf itu membuktikan universiti berkenaan setanding dengan institusi pengajian tinggi lain.

Menurutnya, MAIS berharap UIS akan sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan memaksimumkan penghasilan pelajar cemerlang serta berkualiti dalam bidang profesional dan hebat di sisi agama.

“UIS perlu sentiasa mengorak langkah komprehensif serta mengambil peluang agar dapat membuktikan pengalaman 27 tahun mengelola pengajian tinggi ini akan merealisasikan kejayaan demi kejayaan apabila menjadi sebuah universiti.

“MAIS juga menyeru kepada ibu bapa dan pelajar di luar sana, agar memilih UIS sebagai salah satu institusi keutamaan untuk melanjutkan pengajian yang berteraskan syariah Islamiah di negeri Selangor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, UIS adalah sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik penuh MAIS yang ditubuhkan pada 15 Februari 1995 di bawah akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 1996.

Institusi itu menawarkan pelbagai bidang pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah memenuhi perakuan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Perakuan itu merentasi pelbagai disiplin ilmu termasuk pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, pendidikan, komunikasi, dan teknologi maklumat yang berdaya saing dan kompetitif. – Malaysiapost

Komen