PAS guna lambang ‘bulan’ di Kelantan, Terengganu, Kedah

PAS guna lambang ‘bulan’ di Kelantan, Terengganu, Kedah

PAS memuktamadkan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri yang dikuasai parti itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS akan menggunakan logo ‘bulan’ di Kelantan, Kedah dan Terengganu, manakala penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) di negeri-negeri lain.

“Penggunaan logo kita sudah putuskan bahawa Kelantan, Terengganu, Kedah kita akan gunakan logo PAS.

“Namun, negeri lain kemungkinan besar akan menggunakan logo PN, (ia) sudah dimuktamadkan dan akan bawa ke Majlis Pimpinan PN,” katanya dalam satu wawancara Harakahdaily.

PAS sebelum ini berpendapat, lambang ‘bulan’ parti itu lebih dikenali dengan meluas dalam kalangan orang ramai berbanding PN yang masih baru usianya.

Tambah menguatkan apabila perkara ini dibangkitkan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang berpendapat ahli partinya ‘alergik’ kepada warna biru yang mengingatkan mereka kepada Umno-BN.

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan jawatankuasa kerja parti itu membuat keputusan untuk memperkukuh kerjasama mereka dalam PN untuk menghadapi PRU akan datang.

Dalam wawancara tersebut Tuan Ibrahim turut memberitahu faktor banjir menjadikan punca utama PAS enggan membubarkan dewan undangan negeri (DUN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Penyandang kerusi Parlimen Kubang Krian itu berkata, PAS tidak boleh disalahkan sekiranya tindakan itu menyebabkan kos perjalanan pilihan raya bertambah kerana perlu diadakan dua kali.

Sebaliknya Tuan Ibrahim menganggap Umno-BN yang perlu dipersalahkan apabila tergesa-gesa mahu membubarkan parlimen menjelang musim tengkujuh.

“Soal kos dan sebagainya, kita (PAS) akui. Tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar pada waktu ini? Rakyat susah kalau banjir berlaku.

“Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir, kita bimbang takut-takut kemarahan rakyat sekarang ini kita sangat ketara,” katanya. – Malaysiapost

Komen