Pas pilih PN kerana dijanjikan 47 kerusi boleh menang – Asyraf Wajdi

Pas pilih PN kerana dijanjikan 47 kerusi boleh menang – Asyraf Wajdi

USAHA semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah membabitkan Umno dan Pas, demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu itu dapat dipertautkan kembali.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ikhtiar terakhir yang dilakukan adalah melalui pertemuan Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti pada Rabu lalu.

Menurutnya, pertemuan itu dilakukan sehari sebelum Pas membuat keputusan kekal bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus perundingan untuk kembali mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) gagal.

“Pertemuan ini adalah ikhtiar terakhir Umno untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan MN yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang, atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam.

“Itupun selepas didatangi seorang pimpinan tertinggi Pas yang membawa mesej bahawa Majlis Syura Pas dan Muktamar Pas telah membuat resolusi mahukan hubungan Pas dan Umno dipulihkan kembali.

“Dewan Ulamak Pas juga dikhabarkan membuat resolusi serupa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi gambar pertemuan antara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Asyraf Wajdi berkata, Umno sudah cukup berjiwa besar untuk menerima kembali Pas, walaupun dikhianati parti itu yang bersetuju mendaftarkan PN bersama Bersatu sedangkan penafian dibuat beberapa kali dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN.

“Sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dahulu, Umno menawarkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menang kepada Pas untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada Pas.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini (12 Oktober lalu), Pas menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada Pas.

“Namun bagi Umno, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

Asyraf Wajdi menegaskan, sebagai sebuah parti perjuangan, Umno tidak akan pernah patah semangat walaupun ‘madu dibalas tuba’.

“Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan, kerana Umno yakin, rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan, kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata, hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan.

“Apa-apapun Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutamanya permuafakatan Umno-Pas, demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

“Mungkin ada hikmah yang Allah rahsiakan kepada kita semua di sebalik episod ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen