PH perlu pertimbang bubar DUN tiga negeri – Ramkarpal

PH perlu pertimbang bubar DUN tiga negeri – Ramkarpal

SEORANG pemimpin DAP menggesa Pakatan Harapan (PH) mempertimbang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri ditadbirnya bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata PH tidak seharusnya membebankan rakyat dengan mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri berasingan.

“Kita (PH) terpaksa mempertimbangkan PRN sekarang kerana keputusan kerajaan Persekutuan yang mementingkan diri sendiri dalam menggesa pilihan raya Parlimen.

“Oleh kerana rakyat perlu keluar dan mengundi Ahli Parlimen, mengapa tidak mengundi kedua-dua Adun dan Ahli Parlimen juga?” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, beliau telah turun padang di Pulau Pinang dan rakyat memaklumkan mereka tidak mahu pilihan raya berasingan.

“Tidak ada yang tidak berprinsip dalam mengadakan pilihan raya serentak sekarang kerana ia pasti untuk kepentingan rakyat.

“Rakyat akan faham bahawa kita terpaksa melakukannya kerana kerajaan Persekutuan yang memaksa PRU15 pada mulanya,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata parti itu masih belum setuju untuk membubarkan DUN Pulau Pinang selepas Pengerusinya Lim Guan Eng menggesa PH untuk terbuka dalam mengadakan pilihan raya Parlimen dan negeri secara serentak. – Malaysiapost

Komen