PRU15 di musim hujan, banjir nak sekat orang mengundi – Tun M

PRU15 di musim hujan, banjir nak sekat orang mengundi – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa strategi untuk menyekat pengundi keluar mengundi seperti yang digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 diulang semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu, berkata berbeza dengan PRU15 yang bakal diadakan pada musim hujan dan banjir, hari membuang undi pada pilihan PRU14 diadakan pada Rabu bagi memastikan peratusan keluar mengundi adalah rendah.

“Tindakan Umno mendesak supaya pilihan raya diadakan pada musim hujan dan banjir ini bertujuan untuk memastikan peratusan pengundi yang keluar rendah.

“Strategi ini tidak ada beza dengan apa yang Umno/Barisan Nasional buat pada pilihan raya tahun 2018 yang memastikan undi diadakan pada hari Rabu,” katanya menerusi Facebook.

Dr Mahathir yang juga penyandang Parlimen Langkawi berkata, strategi yang digunakan pasti tidak berjaya kerana rakyat tidak mahu sebuah kerajaan kleptokrat.

“Malangnya strategi mereka itu gagal pada tahun 2018 apabila rakyat Malaysia bangkit bersama-sama dan memastikan peratusan pengundi yang keluar begitu tinggi. Ini telah memastikan pemerintahan kleptokrasi dijatuhkan.

“Kali ini, dengan pilihan raya diadakan ketika musim tengkujuh atau monsun, mereka sekali lagi berharap peratusan keluar mengundi rendah dan dengan itu akan berjaya memastikan kleptokrat kembali memerintah.

“Saya yakin rakyat Malaysia tidak mahu kleptokrat kembali memerintah. Rakyat akan dapat sekat kembalinya kleptokrat dengan keluar mengundi beramai-ramai,” katanya. – Malaysiapost

Komen