Rakyat perlu berhati-hati dengan hasutan musuh BN – Ahmad Zahid

Rakyat perlu berhati-hati dengan hasutan musuh BN – Ahmad Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi agar tidak terpedaya dengan hasutan dari musuh gabungan itu seperti yang dilakukan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, taktikal hasutan itu diakui sendiri oleh lawan BN sebagai cara untuk menang dalam pilihan raya dan akan melakukannya lagi menjelang PRU-15.

“Hari-hari mereka menghasut. Mereka menghasut siapa sahaja. Tidak kira siapa mereka akan cuba hasut. Walaupun telah ada penjelasan tentang sesuatu perkara mereka tohmahkan, mereka tidak peduli akan kebenaran.

“Mereka tetap teruskan hasutan sama berulang-ulang. Inilah taktikal mereka untuk memperdaya fikiran. Mereka pernah melakukannya pada PRU-14 dan menjelang PRU-15 mereka sedang melakukannya lagi,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, turut menyenaraikan hasutan terbaru lawan BN itu termasuk isu mengadakan pilihan raya ketika ‘banjir besar’.

“Yang di-Pertuan Agong selepas memperkenan pembubaran Parlimen bertitah PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November,” katanya.

Beliau berkata, titah itu selari dengan pandangan ramai pihak PRU-15 boleh diadakan sebelum musim tengkujuh diramal aktif dan Jabatan Meteorologi Malaysia juga menafikan dakwaan pasti berlaku banjir besar penghujung November ini.

Ahmad Zahid berkata, hasutan lain adalah mengenai pendakwaan politik dengan ucapannya pada Perhimpunan MIC diputar belit dan diambil sekerat-sekerat dijadikan bahan fitnah.

“Intipati sebenar ucapan saya pemimpin BN berisiko dikenakan pendakwaan politik jika lawan BN menang PRU-15. Walaupun terdapat rakaman video ucapan dalam konteks sebenar, mereka tetap meneruskan putar belit,” katanya.

Beliau berkata, kesimpulannya rakyat perlu berhati-hati apabila didatangi hasutan musuh BN dengan mengkaji dan meneliti sebelum menghadamnya.

“Menelaah kebenaran mungkin mengambil sedikit masa, namun mustahak demi ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Natijah terpedaya amat buruk sedangkan yang menghasut semudah mengumum bersara daripada politik untuk ‘cuci tangan’.

“Yang menanggung implikasinya adalah rakyat dan negara seperti apa yang kita saksikan sejak 9 Mei 2018. Ayuh rakyat Malaysia kali ini PRU-15 bangkit bersama BN kita pulihkan kestabilan dan kemakmuran,” katanya. – Malaysiapost

Komen