RM2.3 juta perkasa sektor pelancongan Melaka – PM 

RM2.3 juta perkasa sektor pelancongan Melaka – PM 

SEKTOR pelancongan di Melaka akan terus diperkasa menerusi projek Ecotourism Paya Lebar dengan peruntukan RM2.3 juta dan projek menaik taraf Kolam Ayer Panas Gadek sebanyak RM17.9 juta. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan turut meluluskan beberapa projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubahsuai dan Naik Taraf (PPUN) dengan peruntukan RM5.9 juta terhadap fasiliti pelancongan yang tidak digunakan sepanjang tempoh pandemik yang lalu. 

“Beberapa bantuan dan inisiatif turut diberi kepada penggiat pelancongan, misalnya pada tahun ini, RM1.9 juta disalurkan kepada penggiat pelancongan di Melaka termasuk pengusaha inap desa (homestay) dan hotel, pemandu pelancong dan agensi pelancongan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. 

Ismail Sabri berkata, dalam sektor pendidikan, terdapat 56 projek baharu dan sambungan di Melaka bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM788 juta. 

Malah, katanya dalam bidang kesihatan, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Pergigian Pediatrik di Hospital Melaka sedang dinaik taraf. 

“Klinik Kesihatan dengan kuarters Simpang Bekoh, Jasin sedang dibina dengan peruntukan RM63 juta dan dijangka siap pada tahun 2023 dan 2024,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, beliau berkata RM442 juta diperuntukkan bagi pembangunan luar bandar melibatkan 38 projek pembangunan untuk kelestarian, kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah melaksanakan program perumahan rumah mampu milik (RMM) sebanyak 12,876 unit sama ada siap dibina atau dalam perancangan setakat Ogos lalu. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mandat rakyat telah dipulangkan kembali selepas pembubaran Parlimen diumumkan Isnin lalu, kerana mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15. 

“Kita memerlukan Kerajaan yang harmoni dan bersatu hati bagi menghadapi cabaran ini. 

“Saya yakin Keluarga Malaysia Melaka akan menggunakan hak untuk memilih kerajaan yang mampu mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan,” katanya. – Malaysiapost

Komen