Sedia runding dengan Tun M, Muhyiddin, Anwar mahu bentuk PH 2.0?

Sedia runding dengan Tun M, Muhyiddin, Anwar mahu bentuk PH 2.0?

PUTERI Umno mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau sedang mengusahakan Pakatan Harapan (PH) 2.0 bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia selepas Pengerusi PH itu dilaporkan berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pakatan Harapan (PH 2.0) ‘in the making’… selepas berjaya perdaya pengundi dengan cara penipuan, fitnah dan propaganda jahat.

“Sudah tentu mereka akan kitar semula gunakan senjata sama dan diulang-ulang dalam kempen.

“Ungkapan fitnah Umno perompak, pencuri akan diratip untuk menghasut,” kata Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Zahida menambah, selepas rakyat memberi peluang kepada PH pada PRU14, mereka mensia-siakannya serta menyebabkan pelbagai kerosakan kepada negara.

“Selepas rakyat beri peluang, apa yang mereka buat? Selain daripada kehancuran kepada negara. Ekonomi merudum, sistem keadilan dirosakkan, keharmonian kaum juga dirosakkan.

“Sejarah mahu diubah mengikut pemikiran DAP, siri pengkhianatan lompat si katak lompat jadi amalan, dan banyak lagi jika nak disenaraikan.

“Nak bagi peluang lagi kepada ‘kluster perosak’ ini di kertas undi kalian?,” katanya.

Semalam Anwar dilaporkan berkata, pintu kerjasama sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kami (PH) komited dalam melaksanakan agenda reform (pembaharuan), melawan gejala rasuah dan penyalahgunaan rasuah.

“Sesiapa saja yang bersetuju dengan prinsip ini, boleh datang dan berbincang. Ruang adalah terbuka,” katanya. – Malaysiapost

Komen