‘Tutup kes? Tidak sama sekali’ – Puteri Sarah

‘Tutup kes? Tidak sama sekali’ – Puteri Sarah

“TIDAK akan diam selagi yang sepatutnya tidak diambil tindakan.”

Demikian kata pelakon Puteri Sarah Liyana berhubung perkembangan aduan di peringkat mahkamah terhadap wanita yang didakwa mengganggu rumah tangganya bersama suami yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar.

Puteri Sarah, 37, dalam hantaran di Instagram berkata, aduan yang dibuat di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sedang berjalan walaupun mengambil masa agak lama.

Katanya, bagi aduan di Mahkamah Sivil pihak telah mendapat tarikh perbicaraan yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Ramai yang tanyakan (kes aduan). Perlahan (prosedur) tetapi tetap berjalan. Kes mahkamah memang ambil masa yang sangat lama. Mahkamah sivil sudah dapat tarikh bicara tapi tahun depan.

“Mahkamah Syariah akan datang, saya tengah berjuang untuk itu. Tutup kes? Tidak sama sekali!,” katanya.

Menurut Puteri Sarah, kes aduan terhadap individu mengganggu rumah tangga pihak lain tidak pernah lagi berjaya berlaku di Selangor atau Kuala Lumpur.

“Tak pernah lagi dekat Selangor atau Kuala Lumpur berjaya (kes aduan) kecuali dekat Terengganu pernah berjaya kes pertama.

“Jadi mari kita jadikan kes ini yang pertama berjaya di sini. Doakan Sarah,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Puteri Sarah dilaporkan hadir ke Bahagian Penguatkusaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan (Jabatan Agama Islam Selangor).

Kehadirannya itu bagi membuat tuntutan terhadap Ira Kazar, wanita yang dikatakan ‘orang ketiga’ mengganggu rumah tangganya. – Malaysiapost

Komen