BN seru segerakan PRU bagi tangani isu ekonomi – Zahid

BN seru segerakan PRU bagi tangani isu ekonomi – Zahid

ANTARA sebab utama Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu disegerakan untuk mengembalikan kepada rakyat menentukan mandat baharu bagi parti politik yang difikirkan sesuai untuk memimpin negara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mandat yang diberikan juga menjamin keabsahan atau ‘legitimacy’ kerajaan yang dibentuk, selain memastikan kestabilan yang utuh.

“Keabsahan dan kestabilan secara langsung mampu memberikan fokus untuk menangani isu-isu ekonomi yang melanda Malaysia ketika ini.

“Tiada rengek bengek politik, perebutan jawatan timbalan perdana seperti sebelum ini, menuntut jawatan menteri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau yang merupakan Presiden Umno berkata, negara dilanda beberapa isu ekonomi yang dijangka melarat ke suku kedua tahun ini iaitu kadar inflasi negara semakin meningkat dan nilai ringgit semakin merendah.

Katanya, selain itu negara menghadapi pengurangan sumber manusia atau pekerja dalam beberapa sektor ekonomi seperti perladangan dan perkhidmatan, serta ketidaktentuan situasi geopolitik serantau yang memberi gangguan kepada rantaian ekonomi global.

“Antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah dengan memberi komitmen kepada perubahan struktural yang radikal dan menyeluruh.

“Seperti contoh, perubahan struktural kepada pasaran kerja, keadaan fiskal dan perbelanjaan negara juga perlu direformasikan secara cermat dan tidak teragak-agak melalui disiplin fiskal.

“(Selain) memperkenalkan cukai-cukai baharu dan menyalurkan perbelanjaan kerajaan berteraskan data terkini dan keutamaan,” ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, saranan tersebut sejajar dengan yang disyorkan oleh Bank Dunia baru-baru ini, dan juga telah disambut Kementerian Kewangan.

Namun begitu, katanya, sebelum semua itu dilaksanakan, keabsahan dan kestabilan kerajaan yang lebih utuh perlu dicapai.

“Kerana itulah BN selama ini menyeru untuk menyegerakan PRU15 agar apa-apa pun parti politik yang membentuk kerajaan pasca PRU15 kelak akan berupaya mentadbir dengan baik,” katanya. – Malaysiapost

Komen