Isham Jalil lancar kutipan dana PRU15

Isham Jalil lancar kutipan dana PRU15

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menjadi pemimpin Umno pertama yang memperkenalkan tabung dana untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau antara yang paling awal memperjuangkan akta pendanaan politik yang membolehkan ramai orang terutama orang muda untuk terlibat dalam politik dan untuk bertanding dalam pilihanraya.

“Jika mereka ada niat dan idea yang baik untuk membangunkan negara, mereka boleh mengumpul dana secara telus untuk melibatkan diri dalam politik bagi menentukan halatuju dan dasar negara serta untung nasib rakyat.

“Ini membuka politik Malaysia ke arah yang lebih inklusif di samping meningkatkan ketelusan proses demokrasi,” katanya dalam hantaran Facebook.

Isham berkata, walaupun akta itu belum diluluskan di Parlimen, beliau akan menjalankannya terlebih dahulu selain menguruskan secara profesional dalam akaun berasingan khas untuk perbelanjaan pilihan raya dan perjuangan politiknya dan rakan-rakan.

Katanya, dana itu tidak akan digunakan untuk kegunaan peribadi, kerana semua perbelanjaan direkod dan seterusnya diaudit oleh juruaudit bertauliah.

“Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan adalah amat dihargai tidak kira sekecil mana atau sebesar mana, biar pun seringgit mahupun sejuta, saya dahului dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih.

“Jika saya diberi peluang bertanding, saya akan gunakan dana ini untuk deposit pilihanraya dan perbelanjaan kempen. Jika saya tidak bertanding, saya akan gunakan dana ini untuk terus membantu parti dan rakan-rakan yang bertanding,” ujarnya.

Dalam hantaran yang sama, Isham memuat naik poster Fundraising Dana PRU15 yang akan berlangsung pada 18 Oktober di Riverside Café, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Turut dinyatakan tiada bayaran dikenakan selain persembahan busker, ‘live band’, jualan baju dan topi juga diadakan. – Malaysiapost

Komen