Laporan siasatan buku Tommy Thomas didedahkan, buat pemimpin PH tertekan

Laporan siasatan buku Tommy Thomas didedahkan, buat pemimpin PH tertekan

PAKATAN Harapan (PH) didakwa berada dalam tekanan selepas kerajaan memutuskan untuk mendedahkan hasil siasatan buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice In The Wilderness’.

EXCO Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, berkata pemimpin PH sedar mereka sememangnya terpalit dengan isu tersebut.

“Dengan pendedahan itu sudah semestinya membuatkan pimpinan PH seperti Rafizi Ramli, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan ramai lagi akan diheret ke mahkamah jika mereka tewas pada PRU kali ini.

“Perkara ini akan berlaku apabila Tommy Thomas akan mendedahkan segalanya kerana tidak mungkin semua perkara boleh dilindungi dalam siasatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemimpin PH akan menggunakan peluang berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini untuk menghasut rakyat demi memastikan mereka tidak dikaitkan dengan hasil siasatan buku tersebut.

“Apa yang PH lakukan untuk pasting perkara ini tidak berlaku? Mereka akan terus-menerus menghasut rakyat, menakutkan rakyat dengan fitnah, janji bulan dan bintang, kerana dengan cara ini sahaja mereka akan mendapat keyakinan rakyat untuk mengundi mereka sekali lagi,” katanya.

Justeru, Shahrul Nasrun berkata, rakyat diingatkan jangan sesekali lupa tindakan PH ketika berkuasa selama 22 bulan menggugurkan banyak kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan mereka.

Malah katanya, pendakwaan terpilih juga sangat jelas berlaku sepanjang pemerintahan PH dan perkara itu bukanlah seperti apa yang mereka gambarkan kepada rakyat.

“Cukuplah sepanjang 22 bulan mereka memerintah dan melakukan apa sahaja yang mementingkan kuasa mereka.

“Sepanjang Barisan Nasional mentadbir negara melalui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiada satu pun kes terutamanya yang melibatkan kepimpinan BN dibebaskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan muda yang akan menjadi pengundi kali pertama supaya tidak menggadaikan mandat dan tanggungjawab dengan memilih parti yang menjadikan negara ini seperti kepunyaan mereka.

“Saya yakin rakyat Malaysia pada hari ini sudah bijak untuk memilih”, katanya. – Malaysiapost

Komen