Persatuan Bekas Polis dapat dana khas RM200,000

Persatuan Bekas Polis dapat dana khas RM200,000

Ben Ibrahim

PERSATUAN bekas polis menerima dana khas berjumlah RM200,000 sebagai menghargai jasa pesara pasukan keselamatan itu.

Peruntukan khas itu diberikan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Pahang dengan masing-masing menerima RM100,000.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis di Bera, hari ini.

“Peruntukan itu untuk memastikan kebajikan pesara polis terus terjaga dan terbela.

“Apabila cakap soal pesara, mereka (pesara) selalu nak dengar pengumuman kerajaan khusus untuk pesara, tetapi kerajaan sebenarnya sudah umum pelbagai pinjaman perniagaan, (misalnya) Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) yang diperuntukkan sejumlah besar, meliputi semua termasuk pesara,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan pengecualian cukai kepada individu dan badan korporat yang memberi dana kepada persatuan atau badan yang tidak membuat keuntungan seperti Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kepentingan persatuan polis akan terus dibela jika kerajaan hari ini dipilih terus memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, jika Barisan Nasional (BN) diberi peluang untuk terus mentadbir negara, Bajet 2023 akan dibentangkan semula dan segala bantuan serta inisiatif dirangka bakal dilaksanakan untuk manfaat rakyat. – Malaysiapost

Komen