PH tidak bubar DUN di 3 negeri – Anwar

PH tidak bubar DUN di 3 negeri – Anwar

PAKATAN Harapan (PH) memutuskan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang ditadbir gabungan itu.

Pengerusniya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, hari ini.

“PKR dan Amanah mempunyai pendirian sama pada peringkat awal (untuk tidak bubarkan DUN).

“DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka tapi akhirnya Setiausaha Agung DAP memutuskan bahawa tiga negeri PH akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir,” kata pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Sementara itu, Anwar turut menghargai rakan gabungan parti itu di Pulau Pinang kerana menyuarakan pandangan pengundi dan rakyat.

“PH adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka, apa alasan kita buat keputusan bersama.

“Pertama kita menolak kerakusan pemerintah memaksa pilihan raya dalam keadaan rakyat derita dan susah menghadapi banjir.

“Kedua, kita mahu jentera kerajaan yang sah dan punyai mandat menumpukan bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka, tetapi sepenuhnya tumpu persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH memutuskan bahawa negeri yang ditadbir gabungan itu tidak akan membubarkan DUN masing-masing sehingga musim tengkujuh berlalu.

Bagaimanapun, DAP Pulau Pinang sebelum ini menyatakan pendirian tidak bersetuju pilihan raya negeri ditangguhkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan keputusan tidak membubarkan DUN Pulau Pinang adalah satu keputusan sukar yang terpaksa diambilnya selaku wakil parti itu.

Jelasnya, meskipun pimpinan DAP peringkat negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta negeri itu dibenarkan membubarkan DUN secara berasingan, namun PH berpendapat tumpuan perlu diberikan terhadap persiapan menangani banjir. – Malaysiapost

Komen