PRU15: BN perlu menang besar, bentuk kerajaan dominan – PM

PRU15: BN perlu menang besar, bentuk kerajaan dominan – PM

BARISAN Nasional (BN) perlu menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membentuk kerajaan yang dominan tanpa mengharapkan pihak lain, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan keputusan-keputusan besar mudah dibuat.

“Kali ini penguasaan kita perlu lebih besar daripada parti-parti lain, kalau boleh menang dengan majoriti mudah.

“Sekarang walaupun saya jadi Perdana Menteri, BN di dalam kerajaan hanya menyumbang 42 kerusi, tak banyak, Perikatan Nasional (PN) campur dengan PAS, Bersatu, 49 kerusi, GPS (19) rakan kita tapi tak boleh mereka bukan dalam BN.

“Betul mereka akur dengan saya sebagai Perdana Menteri, tapi kita rasa tak berapa kuat, tumbang tak tumbang kerajaan kalau ada lima yang tarik diri, jadi rasa tak selamat.

“Jadi yang terbaik, jangan kita harapkan orang lain tapi kita yang tentukan hala tuju negara,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, BN perlu mendapat dua pertiga kerusi sekurang-kurangnya dapat membentuk kerajaan.

Sementara itu, beliau juga meminta platform media sosial dikuasai untuk menepis dakyah pihak lain.

“Kita mesti menguasai lebih media sosial daripada mereka, sekarang kita tengok macam-macam berita keluar setiap hari, dia buat mudah saja, tapi boleh menarik orang.

“Macam lagu, Hoi Hoi Oh Yahoi Penyamun popular dalam beberapa hari, kita pun patut buat lagu, Cukup Sekali iaitu kita tunjukkan cukup sekali janji mereka sebelum ini, macam PTPTN percuma, jadi kita kena kreatif, macam kartun-kartun, kempen mereka kena jawab,” katanya.

Jelas beliau, jika dibiarkan ia akan terjadi ketika PRU14 yang menyaksikan BN tewas kerana tidak mampu menjawab persoalan dan fitnah yang dilemparkan pembangkang.

“Kita dulu anggap orang kampung bukan tengok sangat media sosial, ya dulu..tapi pada PRU14 orang kampung dah pandai inikan pula PRU15, lagi pula main WhatsApp setiap hari siap ada group WhatsApp sendiri,” katanya. – Malaysiapost

Komen