Sissy sudah dibenar pulang rumah lepas prosedur pembedahan

Sissy sudah dibenar pulang rumah lepas prosedur pembedahan

PENYANYI dan pengacara, Sissy Iman yang ditidurkan semalam bagi menjalani prosedur pembedahan kini berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang.

Bapanya, Aliff Mohammad Kamil, 59, berkata pembedahan yang dibuat pada jam 11 pagi itu berjalan lancar dan Sissy dibenarkan pulang ke rumah jam 6 petang, semalam.

“Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar. Kami sudah bawa dia balik rumah pada petang semalam. Selepas keadaannya stabil, doktor menasihati agar berehat di rumah.

“Cuma, selepas lima hari perlu datang semula ke hospital bagi pemeriksaan lanjut,” katanya memetik Harian Metro.

Menyentuh mengenai penyakit anaknya, Aliff berkata Sissy tidak berkongsi mengenai penyakit dialami hingga perlu menjalani proses pembedahan.

“Soal sakit Sissy biarlah dia sendiri yang terangkan nanti. Dia seorang saja tahu sakit apa. Sebab dia pun tak beritahu dan berkongsi dengan kami.

“Saya ada bertanya juga, tapi dia cakap tidak ada apa-apa. Dia cakap juga jangan tanya apa-apa selain meminta jangan risau,” katanya.

Dalam masa sama, Aliff mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak berhenti mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anaknya.

Semalam, Sissy menerusi hantaran Instagram memaklumkan akan ditidurkan kerana harus melalui satu pembedahan yang memerlukannya untuk tidak sedarkan diri. – Malaysiapost

Komen