Tiada kerjasama Bersatu, PH dalam PRU15 – Muhyiddin

Tiada kerjasama Bersatu, PH dalam PRU15 – Muhyiddin

BERSATU membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketetapan itu dibuat selepas mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Bersatu.

“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, Bersatu bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU15 melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding.

“Bersatu akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan PN bersama PAS, GERAKAN, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah,

“…sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara in yang berhasrat menawarkan kepimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam mendepani cabaran PRU15.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pintu kerjasama itu sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan Umno dan BN.

Beliau bagaimanapun mendakwa kenyataan itu disalah tafsir sebelum disusuli dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil beberapa jam selepas sidang media itu yang menjelaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan PN. – Malaysiapost

Komen