Tun M nafi cuai punca Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh

Tun M nafi cuai punca Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh

TUN Dr Mahathir Mohamad menafikan bertindak cuai dan terkhilaf sehingga Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh ke tangan Singapura.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata keputusannya berkenaan Pulau Batu Puteh sebelum ini dibuat berdasarkan nasihat pegawai-pegawai yang dilantik oleh bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Itu pendapat dia (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ada kecuaian. Tetapi saya bertindak selepas dinasihat oleh pegawai-pegawai dan pegawai-pegawai itu dilantik oleh Apandi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis Third Age Media Association di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ismail Sabri yang mendakwa kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh beliau sehingga menyebabkan Malaysia kehilangan pulau itu.

Semalam Ismail berkata pasukan khas semakan undang-undang tidak menolak kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan bekas perdana menteri berkenaan dalam isu Pulau Batu Puteh.

Menurut kenyataan itu, pasukan khas itu menyebut kecuaian dan kekhilafan tersebut menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ditanya sama ada Malaysia perlu menuntut semula Pulau Batu Puteh, Dr Mahathir berkata, negara ini perlu menerima apa sahaja keputusan oleh ICJ.

“Bagi saya kita bagi janji dengan Singapura. Kita akan terima apa saja yang keputusan dibuat oleh mahkamah.

“Lepas tu kita tak boleh tolak, kita dah janji. Macam Pulau Litigan dan Sipadan, Indonesia tak boleh tuntut sebab dah diputuskan oleh court (Mahkamah).

“Kita dah ‘agree from the very beginning’ (sejak dari awal). Kita boleh pergi ‘court’ kalau kita bersetuju keputusan ‘court’ akan diterima. Sekarang ni kita nak tolak not keeping to our promise-lah (tidak menepati janji),” katanya. – Malaysiapost

Komen