Umno Ketereh sokong Ismail Sabri calon Perdana Menteri Ke-10

Umno Ketereh sokong Ismail Sabri calon Perdana Menteri Ke-10

UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara menyokong keputusan Majlis Tertinggi yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sokongan berkenaan adalah salah satu daripada lima usul yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Umno Bahagian Ketereh, semalam.

Bahagian berkenaan juga menyokong segala usaha kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno, dalam memberikan keutamaan kepada usaha transformasi kerajaan.

Ia khususnya dalam transformasi Parlimen, peralihan ke fasa endemik, pemulihan ekonomi negara, menangani inflasi dan kos sara hidup rakyat, membela nasib rakyat serta mengekalkan keamanan dan perpaduan Keluarga Malaysia berteraskan prinsip Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.

Bahagian berkenaan juga merakamkan kesyukuran dan setinggi-tinggi tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri yang telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan prestasi cemerlang.

Selain itu, Umno Ketereh juga menyokong supaya perundingan penyatuan ummah diteruskan dengan Umno kekal mengambil sikap terbuka untuk merealisasikan penyatuan bangsa Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum kali ini.

Umno bahagian itu juga menyatakan kesediaan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi PRU15 dengan semangat juang tinggi, setia kepada parti dan berkhidmat bersama komponen dan Sahabat Barisan Nasional untuk memenangkan parti dalam PRU kali ini. – Malaysiapost

Komen