40 pendaki terperangkap di Air Terjun Telaga Tujuh
KIRA-KIRA 40 pendaki terperangkap dalam kejadian kepala air di kawasan peranginan Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 10.16 pagi tadi.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi terus bergegas ke lokasi dan dimaklumkan terdapat 40 mangsa terperangkap di kawasan air terjun itu.
“Mangsa berusia lingkungan 30-an hingga 40 tahun. Komander operasi melaporkan bahawa keadaan di tempat kejadian adalah hujan lebat dan arus deras ekoran terjadi kejadian kepala air,” katanya yang dipetik Kosmo.
Beliau berkata, anggota penyelamat kemudian membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai untuk anggota bergerak ke lokasi mangsa terperangkap.
Difahamkan operasi menyelamat sedang dijalankan sehingga kini – Malaysiapost
Kredit foto: Borneo Network