AE CATA penting untuk pulihkan industri penerbangan dan pelancongan – Ka Siong
MALAYSIA melihat Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif ASEAN-European Union (AE CATA), sebagai sesuatu yang penting dalam era pasca Covid-19.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata perkara itu dinyatakan dalam ucapannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Bersekutu di Bali, Indonesia yang dihadirinya hari ini.
“Salah satu agenda mesyuarat ialah pemeteraian AE CATA, yang akan menjadi perjanjian pengangkutan udara pertama di dunia antara 37 Negara Anggota ASEAN dan EU.
“Dalam ucapan, saya mengatakan bahawa Malaysia melihat perjanjian itu sebagai sesuatu yang penting dalam era pasca Covid-19 untuk memulihkan industri penerbangan dan pelancongan, dan mempergiat semula ekonomi ASEAN dan EU, yang terjejas teruk disebabkan pandemik.
“Perjanjian ini seharusnya membuka peluang pertumbuhan baharu bagi industri penerbangan di kedua-dua wilayah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ka Siong berkata, beliau kini berada di Bali bagi menghadiri mesyuarat berkenaan yang berlangsung hari ini dan esok.
Menurutnya, turut berlangsung Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) ke-54 pada 14 hingga 15 Oktober lalu, dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak mewakili Malaysia.
Beliau berkata, satu lagi agenda penting yang dimuktamadkan dan dipersetujui dalam mesyuaratnya hari ini ialah Perjanjian ASEAN mengenai Kerjasama Mencari dan Menyelamat Aeronautik dan Maritim, yang amat dialu-alukan oleh Malaysia.
“Ini memerlukan anggota ASEAN bekerjasama dalam pelbagai latihan berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR), perkongsian maklumat dan pertukaran teknikal, dan penyelarasan operasi,” katanya.
Menurutnya, selain Menteri Pengangkutan negara-negara ASEAN, para pegawai pengangkutan dan mobiliti Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, dan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN turut menyertai mesyuarat itu. – Malaysiapost