BN sasar menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen
BARISAN Nasional (BN) mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membentuk kerajaan, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, dalam PRU-14 gabungan itu banyak kalah tipis dan tumpuan kini diberikan di kawasan berkenaan agar kesilapan dalam pilihan raya berkenaan tidak berulang.
“Setakat kita (BN) belum bercakap soal sasaran kerusi, tapi kita nak menang dan kita mesti mendapatkan atau melepasi 112 kerusi untuk pastikan kita dapat menubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.
“Itu sasaran kita. Jadi kita kalau boleh menang banyak lebih baik. Dulu (PRU-14), kita banyak kalah tipis dan kepemimpinan di kawasan berkenaan akan beri tumpuan terhadap kerusi-kerusi ini.
“Ada banyak kita kalah tipis kerana isu-isu tempatan dan ini perlu diselesaikan segera supaya tidak mengulangi lagi kesilapan seperti yang berlaku pada PRU-14,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan, di Seremban hari ini.
Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau, berkata BN juga akan melaksanakan kajian sikap terhadap pengundi menerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kajian sikap yang kita buat sebelum ini perlu diperkemaskan kerana sikap pengundi ini berubah-ubah mengikut keadaan dan isu-isu semasa.
“Jika boleh buat huraian sebelum tarikh penamaan calon dan sekali lagi selepas penamaan calon kerana selepas itu ada gegaran-gegaran yang perlu diberikan perhatian, dan ia penting supaya tidak jauh dari sasaran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pembahagian kerusi bagi PRU-15 dalam kalangan komponen BN setakat ini belum dimuktamadkan.
“(Kerusi) parti-parti komponen kita belum putuskan, walaupun kita sudah berbincang dan pihak sekretariat akan berjumpa dengan kepemimpinan gabungan MCA, MIC dan GRS, untuk pastikan pembahagian kerusi dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin, ” katanya. – Malaysiapost