BN tekad ulangi kejayaan PRU11, tanding 191 kerusi Parlimen
BARISAN Nasional (BN) akan bertanding 191 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menyifatkan PRU15 sebagai ibu kepada segala pilihan raya dan berazam untuk mengulangi kejayaan PRU11 yang dipimpin bekas presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
” Ya (BN tanding 191 kerusi),” katanya ketika ditanya wartawan pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menjelaskan, BN akan bertanding pada PRU15 ini sebagai ‘underdog’ sekali gus menuntut jentera bekerja keras memastikan BN dapat menawan pilihan raya umum kali ini.
“Kami perlu capai 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Dalam kes ini, jika kita sasar untuk menang dua pertiga, kita perlu kerjasama dengan parti lain.
“Bagi saya PRU15 adalah ibu kepada segala pilihan raya kami akan turun sebagai parti politik ‘underdog’, sebagai ‘underdog’ kita perlu bekerja kuat dan bekerja secara bijaksana,” katanya.
BN kini ditunjangi Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) selepas tewas dalam PRU14 lalu.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN buat pertama kalinya akan membuka ruang kepada parti “Friends of BN” untuk bertanding atas tiket gabungan itu dalam PRU15 nanti.
“Kami tidak akan pernah lupa calon-calon yang datang dari Friends of BN.
“Ini pertama kali kita akan bagi peluang kepada calon-calon Friends of BN (bertanding),” katanya. -Malaysiapost