Ismail Sabri kekal jadi PM jika BN menang – Ahmad Zahid
PIHAK lain tidak berhak menentukan calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional (BN) dan jika berlaku ia adalah usaha untuk memecah belahkan parti, tegas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, Umno kekal dengan keputusan mencalonkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri jika BN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),
“Ini (tentukan calon Perdana Menteri BN) merupakan usaha pihak-pihak tertentu untuk memecah belahkan parti.
“Umno mengekalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.
“Jadi..jika ada parti pembangkang yang ‘menamakan’ orang lain selain daripada Seri Ismail Sabri, itu adalah usaha untuk memecahkan Umno dan BN,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya dakwaan beliau yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang PRU-15.
Beliau bagaimanapun berkata, penentu akhir kepada seseorang itu layak menjadi seorang Perdana Menteri adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Kita berpegang kepada prinsip Umno telah mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri itu tidak boleh dipertikaikan lagi.
“Namun, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di di-Petuan Agong mengikut Perkara 40 (1) (B) Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Umno tidak menghormati sebarang cadangan pembangkang untuk melantik individu lain sebagai calon Perdana Menteri.
“Jika ada parti pembangkang menamakan orang lain itu adalah usaha memecahbelahkan Umno dan BN.
“Jadi, itu saya tidak hormati, kita hormati kuasa mutlak yang ada di bawah Perlembagaan,” katanya. – Malaysiapost