Isu Cikgu Fadli: Lembaga Tatatertib bincang esok.

Isu Cikgu Fadli: Lembaga Tatatertib bincang esok.

SURAT tindakan tatatertib yang dihantar kepada cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh bukan membawa maksud hukuman telah dijatuhkan, kata Datuk Pkharuddin Ghazali.

Ketua Pengarah Pendidikan itu berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu berkenaan yang telah tular di media sosial.

“Untuk makluman surat yang dihantar kepada cikgu tersebut bukan lah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh lembaga tatatertib.

“Sebaliknya surat tersebut memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan cikgu Fadli mengemukakan penjelasan bertulis.

“Lembaga tatatertib teleh menerima ‘refresentasi’ (surat tunjuk sebab) daripada cikgu Mohd Fadli pada 14 Okt 2022,” katanya dalam satu video yang disiarkan di Facebook rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.

Pkharuddin menjelaskan, lembaga tatatertib akan bersidang esok bagi membincang isu guru berkenaan.

“Prosiding tatatertib ini dibuat di bawah peraturan-peraturan pegawai awam kelakuan dan tatatertib 1993.

“Ianya diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuklah diri saya sendiri,” katanya.

Semalam, pendedahan cikgu Mohd Fadli yang juga guru sekolah rendah menerima surat daripada KPM dan berdepan tindakan dibuang kerja mendapat perhatian Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh.

“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” kata Radzi dalam hantaran ringkas di Facebooknya, malam tadi. -Malaysiapost

Komen