Isu dibangkitkan Cikgu Fadli ada asasnya – Asyraf Wajdi
ISU membabitkan guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang dikatakan kini berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat hanya kerana menyuarakan masalah semakin hangat diperkatakan.
Pelbagai pihak memberikan pandangan mengenainya termasuk bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh guru berkenaan.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berpendapat apa yang dibangkitkan oleh guru berkenaan ada asasnya, seperti isu ‘silibus syok sendiri’ yang terlalu tinggi dan padat.
“Saya sendiri pernah pertikaikan untuk apa topik insurance atau takaful dibincangkan untuk murid darjah 6 di bawah subjek Matematik? Topik ini pelajar sekolah menengah pun belum tentu faham.
“Saya hampir 10 tahun mengajar subjek kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kepada pemain industri perbankan, takaful dan kewangan dahulu pun, apabila masuk bab takaful pun bukan mudah pelajar peringkat universiti hatta pemain industri nak hadam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, isterinya yang juga seorang Profesor dalam bidang takaful di UIA juga sukar untuk menerangkan subjek berkenaan kepada anak mereka apabila ditanya mengenai insurans atau takaful dalam subjek Matematiknya.
“Apakah jaminan cikgu di sekolah juga faham mengenainya?” soalnya.
Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diterajuinya dahulu tidak pernah mengambil tindakan tatatertib terhadap kelantangan guru mengkritik dasar kementerian.
Beliau memaklumkan, Cikgu Fadli juga sebenarnya sudah lantang ketika eranya menjadi menteri pendidikan, selain ramai lagi guru yang bersuara demi kepentingan bidang pendidikan negara.
“Saya dihujani pelbagai mesej mengenai isu Cikgu Fadli. Saya tidak mahu mengambil isu ini dari sudut politik. Cuma saya ingin tekankan satu perkara kepada guru-guru di luar sana, di zaman kita bersama ketika saya di KPM kita tidak pernah mengambil tindakan demikian rupa kepada para guru yang bersuara, malah Cikgu Fadli pun lantang bersuara di zaman saya.
“Kita libat dengan mereka, jadi kawan, undang ke pejabat bukan beliau sahaja, malah ramai lagi yang lain kerana itu yang kita perlukan,” katanya dalam hantaran di TikTok, hari ini.
Menurutnya, sebagai pembuat dasar dan kerajaan, kementerian perlu mendengar apabila guru dan ibu bapa menyuarakan isi hati mereka.
Terdahulu Mohd Fadli memuat naik surat daripada KPM berhubung tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat kerana menegur beberapa isu berkaitan pendidikan.
Susulan itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin bersedia berjumpa dengan guru berkenaan bagi mengetahui lebih lanjut perkara yang dibangkitkan itu.
Mohd Fadli bagaimanapun mengatakan beliau sudah berkali-kali meminta maklum balas daripada menteri berkenaan sebelum ini, namun tidak mendapat respon.
Beliau turut menegaskan tidak mahu isu berkenaan dijadikan sebagai modal politik oleh ahli-ahli politik. – Malaysiapost