Jangan main-main dengan durian – Ahmad Zahid

Jangan main-main dengan durian – Ahmad Zahid

Najamuddin Mohd Nor

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak wajar melabelkan mana-mana parti dengan binatang, tumbuhan atau buah seperti Umno dilabelkan sebagai durian belum masak oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya tidak main-main dengan ‘durian’ kerana durinya tajam dan boleh melukakan seseorang walau dalam keadaan durian itu belum masak.

“Sama ada masak atau pun tidak masak tunggulah durian atas pokok itu jatuh ke bumi dan orang itu ada di bawah, maka saya tidak dapat mengelakkan luka itu terkena pada orang itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menyamakan Umno ketika ini ibarat durian yang belum masak.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan memberi analogi ketika memberi alasan mengapa Pas menolak untuk bekerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata, walaupun Umno nampak semakin baik, parti itu masih keruh dan tidak sesuai buat masa ini untuk Pas menjalinkan kerjasama.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, sepatutnya individu yang memiliki pengetahuan ilmu agama yang tinggi tidak tergamak melabelkan mana-mana pihak untuk tujuan politik.

“Label-label yang dikatakan itu mengikut kacamata beliau sendiri dan kita tahu bahawa pandangan beliau itu agak pandangan peribadi, dan saya tidak berhasrat respon kenyataannya itu.

“Kalau saya mahu mengaibkan, saya boleh tetapi saya mempunyai akhlak, saya tidak mahu mengaibkan sesiapa terutamanya kita yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi,” katanya.

Beliau menasihatkan pemimpin berkenaan tidak menggunakan agama untuk tujuan politik dan sebaliknya menggunakan politik untuk tujuan agama.

“Untuk melabelkan pertubuhan parti politik sama dengan mana-mana binatang atau mana-mana tumbuhan atau mana-mana buah, saya khuatir buah durian durinya tajam.

“Siapa yang ada di bawah jika durian itu jatuh, saya takut lukanya itu dan tajamnya duri itu akan mengenai kepala kalau tidak mengenai badan,” katanya. – Malaysiapost

Komen