Kerajaan pimpinan Ismail Sabri ada rekod cemerlang – Reezal Merican

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri ada rekod cemerlang – Reezal Merican

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbukti mempunyai ‘track record’ cemerlang dalam membawa negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata ia jelas terlihat sejak Naib Presiden Umno itu mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan pada September tahun lalu.

“Alhamdulillah beliau diuji tetapi beliau berjaya mengekalkan momentum, beliaulah memulakan pembukaan sempadan, meletakkan kehidupan kembali kepada normal, beliau telah memastikan pemulihan ekonomi berlaku secara besar-besaran.

“Beliau pastikan keyakinan rakyat untuk kembali berada dalam kehidupan biasa, beliau pastikan rakyat daripada komuniti antarabangsa kembali menanam keyakinan kepada negara kita,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Dewan Konvensyen Perda, hari ini.

Datuk Seri Reezal Merican hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Dewan Konvensyen Perda, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas berkata, hanya dalam tempoh singkat, pelbagai benda dapat dilakukan Perdana Menteri termasuklah berjaya menurunkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus kepada 3.4 peratus.

Menurutnya, kadar pertumbuhan pada suku kedua tahun 2022 juga meningkat sehingga mencecah 8.9 peratus dan kemungkinan besar akan mencecah sehingga sembilan peratus pada suku ketiga.

“Bukanlah di bawah kepimpinan Ismail Sabri tiada masalah. Soal inflasi naik, barang naik, namun beliau ada pengalaman untuk campur tangan, beliau turut pastikan ada subsidi yang luar biasa daripada RM30 bilion dinaikkan sehingga RM 77 bilion.

“Biar projek kerajaan lain batal, tapi hatta untuk rakyat jangan dihentikan, sebab apa, sebab beliau (Ismail Sabri) datang daripada pengalaman, beliau pernah menjawat Menteri Pertanian, Menteri KKLW (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), beliau tahu denyut nadi rakyat,” katanya.

Reezal Merican berkata, ia juga disokong dengan prestasi baik Menteri Kabinet Umno di dalam pentadbiran penyandang kerusi Parlimen Bera itu.

“Semua menteri Umno tidak menggagalkan aspirasi harapan rakyat bila diberikan amanah. Mereka genggam habis-habisan, tidak berpura-pura, tidak berlakon..Sebab apa?, sebab menteri Umno dah sebati khidmat untuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen