Masyarakat India sentiasa diberi perhatian

Masyarakat India sentiasa diberi perhatian

Ben Ibrahim

KERAJAAN sentiasa dan akan terus memberi perhatian khusus kepada masyarakat India di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai aspek termasuk pendidikan dan ekonomi membabitkan masyarakat India juga akan terus diberi tumpuan.

Beliau berkata, dalam Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, pelbagai inisiatif diumumkan untuk masyarakat India.

“Dana RM100 juta bagi (program) pembangunan usahawan India di bawah unit transformasi masyarakat India (MITRA) adalah antara inisiatif yang kita umumkan dalam bajet.

“Dahulunya, MITRA di bawah Kementerian Perpaduan, namun kini dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, dan ini menunjukkan pentingnya (pembangunan) ekonomi kaum India di Malaysia,” katanya ketika berucap pada program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Bera, petang tadi.

Dalam program itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 1,000 masyarakat India sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Ismail Sabri turut memaklumkan, peruntukan RM25 juta diberikan untuk program skim pembangunan usahawan masyarakat India (SPUMI) melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau turut berkata, aspek pendidikan juga tetap diberi keutamaan dan kerajaan menyediakan peruntukan bagi pembangunan sekolah jenis kebangsaan Tamil, selain peruntukan berjumlah RM25 juta setahun bagi universiti swasta milik MIC.

Universiti AIMST menawarkan jurusan perubatan, sains dan teknologi merupakan universiti swasta di bawah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan terletak di Sungai Petani, Kedah. -Malaysiapost

Komen